07 Jun, 2017

ISTERI CURANG DENGAN ARKITEK, KETIKA SUAMI PENAT BEKERJA UNTUK KELUARGA

Hari ini aku harus berterus-terang. Luahkan segalanya pada suami.

Aku nak minta dia lepaskan aku. Ceraikan.

Ding!

Mesej masuk di Whatsapp.

“Awak jangan risau. Saya janji akan bahagiakan awak. Kuatkan hati, kuatkan tekad. Tak guna hidup bersama kalau dah tak cinta.”


*gambar sekadar hiasan*
Mesej dari pemuda yang sudah 6 bulan ku kenali. Tua dua tahun dariku. Bermula kenal dari Instagram bisnes tudungku. Dia tawarkan diri untuk jadi jurugambar professional. Kerja sebenarnya, arkitek di sebuah syarikat ternama. Hasil dari gambar-gambar cantik yang diambilnya, bisnes tudung makin bertambah maju. Dalam masa 4 bulan, sudah mampu bayar deposit kereta baru.

Dari hanya bisnes, akhirnya hubungan kami jadi rapat. Suamiku langsung tiada syak wasangka. Sangkanya cuma rakan perniagaan. Suami sendiri kenal pemuda itu. Malah, dia sendiri yang hantar dan ambilku ke studio untuk photoshoot.

Dalam diam, pemuda itu meluahkan rasa cintanya padaku. Aku pada mulanya berat untuk menerima. Status ‘isteri orang’. Namun, lama-kelamaan aku mengakui punya rasa yang sama dengannya. Cinta tidak bertepuk sebelah tangan. Katanya, dia kagum dengan kecantikan dan kelembutanku. Matang dalam berfikir, bijak dalam bisnes.

Bernikah seawal umur 21. Hayat perkahwinanku dah menginjak tangga lima tahun. Dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Suamiku kerjanya biasa saja. Seorang despatch. Itulah kerjanya sejak awal bernikah sampai sekarang. Kadang-kadang kerjanya itu sampai ke petang. Kadang sampai ke malam andai ada masalah. Semua kiriman dan surat perlu sampai tepat pada masa.

Suamiku itu umumnya baik. Tapi, selalu kami bertengkar juga. Masalah dia terlalu sibuk. Tiada masa untuk anak dan keluarga. Balik lewat petang, dah sangat penat. Nak buat overtime lagi. Katanya nak cari duit lebih, nak beli rumah. Tak mahu lagi menyewa. Tiga empat bulan ni, dia struggle untuk tujuan tu. Banyak kali dia balik rumah, aku dah tertidur pun. Aku pula cuma suri rumah yang ada bisnes tudung di internet. Akhir-akhir ni, pendapatanku lebih lumayan berbanding suami. Minggu lepas kami bergaduh besar. Dia sangka aku nak menunjuk-nunjuk aku lagi lebih darinya; nak tunjuk aku dah ada duit, so aku nak belikan segalanya dalam rumah. Hatta kepada kereta pun. Dia rasa kecil hati tak pasal-pasal. Malas aku nak bertekak. Tension bila niat baik disalahfahami. Pertengkaran berlanjutan.

Bila aku stress, aku adukan masalah pada pemuda si jantung hati. Dia sangat memahami. Malah, mampu menenangkan aku. Aku rasa damai di sampingnya.

Malam ni aku tekad. Aku nak bercerai.

Aku tunggu dia balik kerja. Lambat sangat sampai aku tertidur.

Bila bangun, dia tak ada di sebelah. Aku tengok motornya dah ada di parkir.

Aku melangkah ke bilik anak. Nampak pintu sedikit terbuka. Ternampak kelibat suamiku di dalam. Aku mematikan langkah sekadar di luar pintu. Aku menantinya keluar dulu dari bilik anak. Tak mahu anak terdengar nanti. Berdiri di sisi dinding bilik anak. Telingaku terdengar anak dan ayah sedang berbual. Menangkap jelas segala tutur kata.

“Ayah, kenapa ayah asyik cerita pasal Nabi Muhammad saja?”

Si ayah tersenyum menjawab,

“Sebab ayah nak anak ayah ni tiru Nabi. Tak ada cerita yang terbaik selain cerita Nabi. Buku cerita lain hanya berkisar tentang fantasi, fairytales. Sedangkan tu semua tak wujud. Khayalan. Namun, Nabi kita wujud di realiti. Malah, menanti umatnya di akhirat kelak. Hero kamu bukan ayah, bukan watak-watak komik cerita fantasi. Hero kamu adalah Nabi Muhammad. Bukan sekadar bedtime stories.

Ayah tak tahu banyak, jadi ayah bacakan saja dari buku Biografi Nabi Muhammad ni. Dulu, ayah belajar setakat STPM saja. Ayah tak pandai. Ayah orang miskin.

Tak ada siapa pun ceritakan tentang Nabi secara terperinci pada ayah. Atok pun tak pernah. Jadi, ayah tak nak kamu jadi macam ayah. Ayah nak kamu jadi dewasa untuk jadi seperti Rasulullah. Berjaya di dunia dan akhirat. Andai suatu hari kamu tak berjaya di dunia sekalipun, kamu miskin sekalipun. Harapnya kamu tak miskin agama. Pegang kuat apa yang ayah cakap ni, ya?”

Si anak mengangguk. Senyum.

“Malam ni, ayah nak pesan apa-apa sebelum saya tidur?”

Si ayah menjawab ringkas,

“Ada. Ada seorang ustaz kata, kita kena berinteraksi pujuk anggota badan kita sendiri. Motivasi anggota badan supaya tak buat benda-benda tak elok.”

“Macam mana tu, ayah?”

“Misalnya, ambil masa seminit dua, sambil gosok tangan, cakap pada tangan, ‘Hei tangan, hari ini jangan buat maksiat tahu. Allah nampak.’ ‘Hai kaki, hari ni kita melangkah ke masjid ya.’ Usap mata pula dan kata, ‘Wahai mata, hari ni nak melihat yang baik-baik saja. Nak tundukkan pandangan.’ Beritahu dengan seluruh anggota badan yang selalu buat benda tak baik, ‘hari ini, kena takut pada Allah. Jangan buat maksiat, okay?’.”

Si anaknya tersenyum.

“Jadi, saya kena beritahu mata saya, ‘Wahai mata, hari ni jangan tengok kartun banyak sangat. Tengoklah Al-Quran!’”

“Pandainya anak ayah!”

Si ayah mencium dahi anaknya.

“Dah, tidur ya? Baca doa tidur sama-sama. Allahumma Bismika Ahya Wa Amut. Ya Allah, dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati. Amin… Baiklah. Jumpa malam esok pula.”

Si ayah bangun dan nak keluar bilik. Tiba-tiba tangan si ayah digapai si anak. Menangguh langkahnya.

“Ayah sayang saya tak?”

Ayahnya tersenyum.

“Sayang sangat.”

“Sayang umi tak?”

Ayahnya tersenyum lagi.

“Sayang. Lebih dari kamu tahu.

Saat ayah tiada apa-apa dalam hidup, umimu itu sanggup terima ayah jadi suaminya. Baik kan hati ummi?

Sayang ayah pada umi, sampai menutup mata. Sampai akhirat sana.”

Anaknya tersenyum lebar sampai terlelap.


Suamiku melangkah keluar bilik.

Langkahnya terhenti.

Aku menanti di luar bilik. Basah sudah pipi ini dengan air mata. Mengalir tanpa henti. Sungguh hati ini terusik sangat dalam. Aku tak tahu pun suamiku itu setiap malam berada di sisi anak bercerita tentang Rasulullah s.a.w.. Selama ini, ku sangka suami itu langsung tidak peduli.

Sungguh, aku khilaf!

Ku capai tangan suami. Ku salami tangan kasar itu.

“Awak ok ke?”

Suami kaget seketika.

“Maafkan saya, abang. Maafkan saya. Selama ini, saya curang dengan abang. Saya isteri derhaka. Maafkan saya. Ampunkan saya, bang.”

Suami mengusap ubun-ubun kepalaku.

“Abang dah lama tahu… Abang maafkan..”

Suamiku itu senyum. Tapi, ternyata ada hambar di wajahnya.

“Awak cinta lelaki cameraman tu? Kalau awak cinta dia dan dah tak cinta abang, abang rela korbankan kebahagiaan abang demi melihat awak bahagia.”

Kerana terpaksa, dia relakan. Rela lepaskanku. Bagai nak luruh jantungku ketika itu. Menggigil tangan. Seram sejuk. Aku yang tadi rasa diri kuat nak minta cerai, sekarang dah kaku terus. Tak berdaya. Dalam terketar-ketar, ku kuatkan hati. Sebak mencengkam rasa. Air mata tak daya diseka.

“Tak nak…tak nak..Saya nak abang seorang je…Nak ke Syurga dengan abang…bawa anak kita sama..”

Lantas suamiku itu tersenyum. Kali ini riaknya ikhlas riang.

Tumpah air mata lelakinya di hadapanku.

“Jangan ulang lagi…Hargai abang..boleh?”

Ringkas saja tuturnya dalam sebak bicara sama.

Rupa-rupanya dia naik angin dan bertengkar bukan kerana aku ada duit banyak, ada duit lebih. Tak, dia marah dan sakit hati bila dapat tahu tentang aku dan pemuda itu. Disembunyikan sedaya boleh.

Aku mengangguk mengiyakan.

“Tak kisah suami awak ni miskin? Tak kerja best?”

“Tulusly, tak kisah!”

*
Mesej Whatsapp masuk. DP pemuda kacak. Si cameraman merangkap arkitek.

“Macam mana? Dah selesai?”

Aku membalas ringkas mesej itu.

“Maaf. Saya putuskan untuk memilih setia. Kita selesai di sini. Lepas ni, suami saya sendiri yang akan jadi cameraman.”

Mesej masuk lagi.

“Tapi..tapi…kita kan sama-sama menyintai! Dah janji sehidup semati!”

Aku terus tekan uninstall Whatsapp. Buang sim. Patahkan.

Depan suami.

Dalam hati, enggan lagi melukai. Insan yang lama setia di sisi.

Enggan kerana indahnya mahligai harapan yang belum jadi kenyataan, setia sanggup ku korbankan..

Adaptasi Dari Kisah Benar

Info kredit Via Tengku Muhammad Rusydi