KEHIDUPAN BAGINDA SEBELUM DIUTUSKAN SEBAGAI RASUL

BLogTips
0
A) Peristiwa-peristiwa Sejarah
  Riwayat-riwayat yang sabit berkenaan kehidupan Baginda s.a.w. sebelum diutuskan sebagai Rasul menunjukkan kepada kita beberapa hakikat berikut:
    
1.Bani Hasyim merupakan keturunan Quraisy yang paling mulia. Manakala Quraisy pula adalah kabilah 'Arab yang paling mulia dan berketurunan bersih. Mereka juga memilikikedudukan yang paling tinggi di kalangan bangsa Arab. Diriwayatkan daripada al-Abbas r.a.,daripada Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah mencipta  makhluk ini, lalu  Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik makhluk dan daripada sebaik-baik kelompok mereka (manusia). Dia juga menjadikan aku daripada sebaik-baik kumpulan di antara dua kumpulan (Arab dan bukan Arab). Kemudian Dia meneliti pemilihan kabilah-kabilah secara rapi, maka Dia  menciptakan aku daripada sebaik-baik kabilah (Quraisy). Kemudian Dia meneliti pemilihan keluarga- keluarga secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik keluarga (Bani Hasyim). 

Sementara aku adalah sebaik-baik jiwa (sehingga dipilih menjadi rasul dan penutup segala nabi) dan sebaik-baik keluarga di kalangan mereka. (asal-usul keturunan ibu bapa dan nenek moyang Baginda tiada yang lahir daripada perzinaan, bahkan melalui pernikahan yang sah)”. (Riwayat at-Tirmizi dengan sanad yang sahih). 

Oleh kerana keturunan Baginda s.a.w. adalah mulia di kalangan Quraisy, kita tidak temui isu keturunan menjadi bahan celaan mereka terhadap Nabi s.a.w. Ini disebabkan kemuliaan keturunan Baginda cukup jelas kepada mereka. Quraisy telah mencela Baginda dengan banyak isu yang direka-reka tetapi bukan dalam isu keturunan.
2.Baginda membesar sebagai anak yatim. Bapa Baginda, Abdullah telah meninggal dunia ketika ibu Baginda baru mengandungkan Baginda dua bulan. Apabila Baginda berusia 6 tahun, ibu Baginda, Aminah pula meninggal dunia. Oleh itu, semasa kecil Baginda s.a.w. telah merasai pahit maung tidak mendapat belaian kasih sayang ibu bapa. 
Selepas itu, Baginda telah dipelihara oleh datuk Baginda, Abdul Muttolib. Ketika berumur 8 tahun, datuk Baginda pula meninggal dunia. Dengan itu Baginda selanjutnya dipelihara oleh bapa saudara Baginda, Abu Tolib sehingga Baginda besar dan dewasa. Keyatiman Baginda ini telah disebut oleh al-Quran al-Karim dengan firman Allah Taala:
Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lain Dia memberikan
perlindungan? (Ad-Dhuha: 6)
3.Rasulullah s.a.w. menghabiskan empat tahun pertama zaman kanak-kanak di padang pasir, di perkampungan Bani Saad. Oleh itu, Baginda membesar dengan tubuh yang kuat, jasmani yang sejahtera, lidah yang fasih, jiwa yang berani dan mampu menunggang kuda dengan baik sekalipun masih kecil usianya. Bakat-bakat Baginda terasah dalam kemurnian dan keheningan padang pasir, dibawah kilauan pancaran matahari dan udara yang bersih.
4.Keunggulan Baginda telah diketahui sejak kecil lagi. Tampak pada roman mukanya tanda-tanda kecerdikan yang menimbulkan rasa sayang kepada sesiapa yang melihat Baginda. Apabila Rasul s.a.w. datang ke majlis datuknya semasa zaman kanak-kanak Baginda duduk di atas tilam datuknya. Sedangkan jika datuknya duduk di atas tilam itu, tiadaseorangpun anak-anaknya (bapa saudara Rasul) akan duduk di atasnya. Oleh itu, bapa-bapasaudara Baginda cuba menariknya daripada tilam tersebut. Lantas Abdul Muttolib berkata:Biarkan cucuku ini. Demi Allah dia memiliki keistimewaan.

5.Pada awal remaja, Baginda s.a.w. mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan bayaran upah beberapa qirat (1/24 dinar). Telah sabit daripada Baginda s.a.w., bahawa Baginda bersabda:
Semua nabi pernah mengembala kambing. Mereka bertanya: Kamu juga
wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Aku juga begitu.
Dalam riwayat lain, Baginda bersabda:
َ
Semua Nabi yang diutuskan Allah pernah mengembala kambing. Maka sahabat Baginda bertanya kepadanya: Kamu juga wahai Rasulullah? Lantas Baginda menjawab: Aku juga begitu. Aku pernah mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan upah beberapa qirat. 

Kemudian, apabila umur Baginda mencapai 25 tahun, Baginda berniaga untuk Khadijah binti Khuwailid. Baginda berniaga bermodalkan harta Khadijah dengan mendapat bayaran upah.

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)