04 Ogos, 2017

Kesan Rokok Pada Gigi, Bayangkan Jika Melekat Pada Saluran Pernafasan, Paru Paru


"Awak pernah merokok tak?"

"Tak.." dengan yakin menjawab.

"Betul ke? Ni ada hitam-hitam ni.."

"Owh.. Itu dulu. Dah lama berhenti." pulak.

"Bila berhenti?"

"Tahun lepas.."

"Owh.. Ya ke? Habis tu mulut awak ada bau asap rokok ni kenapa?"

Hmm kan dah tersipu-sipu senyum malu.

Tingkatan satu.. Tingkatan dua dah pandai cakap bohong. Tapi jangan harap dapat tipu doktor gigi tau.

Ini sempat snap gigi atas je, sebab lupa nak snap gigi bawah. Padahal gigi bawah lagi teruk hitam-hitam dia. Tapi dah jadi bersih sebab dah 'ter'cuci dulu sebelum ambil gambar. Bukan niat tidak baik atau apa-apa. Sekadar memberi informasi kepada yang ingin tahu.

Cuba perhatikan, ini stain rokok yang melekat pada gigi. Bukan main susah nak hilang. Berus gigi pun takkan tanggal. Melainkan dapatkan rawatan di klinik. Cuci gigi. Itu pun lama nak hilangkan bagi bersih semua. Lepas cuci, bersih la sekejap gigi tu sehingga jumpa rokok yang seterusnya.

Cuba bayangkan, macamana pula kalau stain ni melekat pada paru-paru? Atau pada seluruh salur pernafasan? Makin lama makin tebal. Makin mengeras. Hilang sifat kenyal salur pernafasan. Ganggu paru-paru dalam berfungsi untuk kembang dan kempis. Lalu tak mampu bernafas. Macam mana rasanya tak dapat bernafas? Sakit tak?

Ini cuma sekadar gigi. Dan saya cuma minta bayangkan keadaan paru-paru. Belum masuk kegagalan lain lagi.

Andai rasanya sukar bernafas itu bukan sesuatu masalah yang besar, teruskan. Andai kegagalan jantung itu dirasakan sesuatu yang tiada apa-apa, teruskan. Andai dirasakan kanser itu sesuatu yang tidak dihairankan, teruskan.

Namun teruskan usaha memudaratkan diri sendiri itu tanpa melibatkan insan lain.