10 tahun 2 bulan saya bekerja di sana. Dan lebih dari itu jika dikira dari sudut pengalaman, saya dapat berbagai-bagai hal, ilmu, network serta banyaknya benda dapat belajar tentang manusia-manusia hebat ini.
Baru-baru ini heboh tentang sebuah cek yang dikatakan ditulis dan diberi oleh seorang tokoh korporat dan lebih dari itu terbukalah cerita tentang beliau satu demi satu. Saya duk baca sahaja, dari di Malaysia, kemudian ke Singapura, saya semakin ambil berat. Lebih dari itu, ramainya yang tidak mengenali di ruangan kawan saya, menulis hal bersangka-sangka tentang beliau dan saya ada sedikit rasa terkilan.
Datuk (Dr) Haji Rameli Musa (DHRM) tiba-tiba menjadi populis. Sewaktu berita meuar-uarkan tentang beliau dilantik menjadi pengerusi KTMB, ianya sekadar angin lalu. Orang hanya bertanya siapalah dia ini sebenarnya. Adalah serba sedikit profile beliau yang kalian boleh cari di Google, gambar beliau pun tak seberapa banyak di mana-mana.
Saya pernah menulis tentang bisnes beliau satu masa lalu. Yang mana, anak jati Kelantan ini merupakan seorang yang Islamik serta mempunyai hubungan yang amat baik dengan ramainya tokoh di dalam negara.
Beliau pernah bertugas di Sapura, menjadikan beliau ini antara yang rapat dengan Tun. Dr. Mahathir ketika itu. Lebih dari itu, beliau juga merupakan seorang yang berkawan baik dengan Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Boleh kata, kilang Ingress Engineering yang pertama dibuka pada tahun 1992, dirasmikan oleh DSAI. Masih ada tugu perasmian itu di bawah pokok berdekatan dengan kantin kilang tersebut.
Kredit Link : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10218967586126513&set=a.2534768294410&type=3&theater
DHRM ini orangnya simple. Tak ada masalah untuk makan di mana-mana, tak ada protocol sangat pun. Oleh kerana (mungkin) beliau anak jadi Kelantan, beliau ini sangat rapat dengan orang-orang beragama, terutama Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Dan jika kalian nak tahu, pergilah ke mana-mana kilang atau show room BMW beliau, beliau ada sediakan ruang surau yang besar ya amat. Malah di kilang besar seperti di Nilai dan Bukit Beruntung, siap boleh masuk 300-500 orang dalam satu-satu masa. Lebih dari itu, di Rayong, Thailand, kilang Ingress di sana siap dapat permit untuk solat jumaat lagi. Dibuka untuk orang awam pada hari tersebut.
Beliau memang membawa imej Islam ke dalam syarikat. Walau pekerjanya bukan 100% muslim, system serta cara kerja, semuanya berdasarkan Islam. Jika di Jepun ada 5S, di Ingress juga ada Islamik 5S. segalanya diterapkan kepada kakitangan dan ianya menjadi dengan amat baik.
Oleh kerana nilai islamik itu dibawa ke mana-mana, sama ada di dalam mesyuarat, masuk kerja, keluar kerja, bercakap,makan, segalanyalah, maka mereka ini rajin membawa ulama ke dalam suasana itu. Dan mereka memang tolak tepi bab politik ini.
Di Ingress, ada azan berkumandang, pagi-pagi bersepah kakitangan ke surau menunaikan solat dhuha, solat zohor dan asar biasanya memang berjemaah. Best. Setiap khamis ada kelas agama, ada juga kelas-kelas al-fatihah bagai. Ya Rabb, rindunya.
Iya, Tuan Guru Haji Hadi, Tuan Guru Nik Aziz antara yang pernah hadir ke kilang. Namun kami semua faham, yang mana ulama-ulama ini datang untuk berkongsi ilmunya sahaja. Bukan sahaja itu, ramainya PU, ustaz ustazah juga memang duk buat kuliah bersama kami. Itu dah jadi biasa dah pun. Tak tahulah kenapa jadi isu politik pula.
Orang boleh sembang itu ini, namun sebelum bersangka-sangka, kenalilah dahulu.
Bab DHRM menerima sebagai jawatan Pengerusi KTMB, ia adalah national services. Memang ya, sudah sampai masa beliau perlu berkhidmat kepada negara pula, nama beliau datang dari Kerajaan, dan datang dengan normalisasi perlantikan melalui MOT, MOF dan BOD KTMB.
Segala ilmu dan segala pengalaman yang beliau ada, pastinya perlu dibawa ke syarikat-syarikat yang memerlukan ini. Kalau nak fikir pasal gaji, pasal duit, rasanya Ingress sudah lebih dari itu. Jualan mereka tahun lepas sudah pun melebihi RM1 billion. Jadi nak apa lagi, umur pun sudah 73 tahun. Rasanya kalau bukan kerana untuk negara, beliau takkan terima.
Semasa saya bekerja, dah terbiasa kalau kami buat majlis, orang akan bercakap tentang DHRM. Kasi surau sana van jenazah, kasi derma sana sini dan sebagainya. Hubungan beliau dengan ulama dan para ilmuan ini adalah sebagai rakan yang amat baik sekali. Lebih dari itu, beliau amat-amat menghormati segala pimpinan serta orang tinggi agama ini.
Orang boleh cakap macam-macam tentang cek tersebut, namun berkata buruk tentang beliau adalah sesuatu yang tidak baik. Kenalilah dahulu. Entah-entah keluarga kalian antara yang pernah bekerja dalam syarikatnya yang kini sudah ada sekitar lebih 2,000 pekerja seluruh dunia. Ia termasuk di Malaysia, Indonesia, Thailand dan India.
Orang yang diam-diam berisi ini memang tak suka Namanya disebut-sebut. Namun apabila diburukkan, saya secara peribadi terpaksa bangun dan beritahu kebaikan yang beliau lakukan.
Saya kenali DHRM sebagai seorang bos yang super duper mementingkan agama. Dan beliau juga antara bos yang sangat sayangkan semua kakitangannya. Pernah saya berada di dalam syarikat dulu, kami mengalami kerugian. Oleh itu tiada bonus untuk raya dan hujung tahun. Namun atas sebab DHRM ini sentiasa berfikir tentang kakitangan, beliau keluarkan lebih RM1.5 juta ringgit untuk beri kepada kakitangan sebagai bonus. Itu adalah duitnya sendiri, bukan duit syarikat.
Orang bisnes, memang suka berkawan. Itu normal. Bukan macam kita, berkawan pun duk perah sana sini, kemudian tinggalkan kita bila dah kaya raya.
Beliau tak, itulah antara benda yang saya belajar dengan beliau. Orang susah ke orang senang ke, beliau jadikan teman dan masih berkawan sehingga hari ini dengan kakitangannya.
Demi Tuhan, saya berbangga mengenali beliau.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Ex Ingress Corporation, 2007-2018.
Ex Ingress Corporation, 2007-2018.