MENELITI SEBAB PENCERAIAN
Menarik juga membaca senarai analisa sebab perceraian suami isteri oleh KOSMO ini. Ia terkait dengan artikel semalam mengenai statistik perceraian.
https://www.facebook.com/wargaprihatin/photos/a.201867952785.170933.176792972785/10154460762752786/?type=3
Daripada 23 asbab yang tersenarai, kebanyakannya merupakan perkara remeh belaka. Hampir kesemuanya adalah perkara yang boleh diubah untuk tidak menjadikan hubungan suami isteri sampai jadi musnah.
Antara yang boleh diambil kira namun selalu diambil ringan melalui hasil kajian kami ialah item,
2 (suami gagal dalam memenuhi keperluan seks isteri),
5 (isteri suka ikut rombongan),
7 (cemburu bekas pasangan),
8 (kisah seks dengan bekas pasangan),
9 (beza politik),
11 (gaji suami rendah),
12 (isteri lambat sedia makan),
13 (bangun lewat),
14 (suami kerja tidak menentu),
16 (cemburu bekas kekasih),
17 (cerewet),
19 (shopping/boros),
20 (suami kedekut),
21 (gagal pam tandas).
Bakinya merupakan alasan yang sengaja diada-adakan, hanya kerana masing-masing sudah saling membenci. Orang kata waktu sayang kentut pun berbau wangi. Tengah meneran di tandas pun masih nampak cantik. Tetapi bila sudah benci, segalanya buruk dan busuk belaka.
Daripada item terpilih di atas juga masih banyak yang merupakan perkara kecil dan tidak seharusnya sampai berlaku perceraian. Yang penting ada usaha untuk mendidik dan saling menasihati, serta ada usaha pula untuk pasangan membuat islah.
Perkara kecil yang dijadikan habit seperti lambat menyediakan makanan, bangun lewat (khususnya isteri), pasangan cerewet, selalu tidak pam tandas dan sebagainya juga tidak mustahil boleh menyebabkan perceraian. Ini terjadi jika habit itu masih kekal diamalkan setelah nasihat diberikan berulang kali.
Habit suami yang tidak pandai 'membelai' isteri cukup banyak berlaku. Ramai suami yang tidak memahami citarasa isteri sendiri sejak mula berkahwin hingga bercerai. Antara habit buruk suami ialah berlaku kasar, pengotor dan hanya mementingkan kepuasan sendiri. Suami begini boleh menyiksa dan menyakitkan isteri. Lebih malang jika isteri pula jenis 'berpengalaman luas'.
Isu yang agak serius dari senarai ini ialah yang melibatkan nusyuz seperti habit isteri yang suka berkeliaran mengikuti rombongan (item 5). Di samping suami terabai, isteri juga akan jadi pemboros dan terdedah kepada banyak fitnah dan kecurangan.
Sekarang ini ditambah lagi dengan fenomena percampuran bebas melalui alumni sekolah atau universiti. Baik suami mahupun isteri sering terjebak dengan fitnah kecurangan melalui fenomena re-union ini.
Semasa bersatu semula melalui Alumni, yang sudah jadi atuk dan nenek pun mula berkelakuan macam budak-budak apabila bertemu semula dengan rakan lama. Tanpa segan silu isteri sanggup meninggalkan suami di rumah untuk ikut rakan lama berkaraoke, main bowling, berparti / majlis dan sebagainya.
Dari pergaulan bebas pakcik dan makcik itu jugalah datangnya peluang berlakunya skandal di antara mereka. Lebih parah lagi jika bertemu semula bekas kekasih lama, khususnya jika ada yang sedang gersang atau kesunyian, samada sedang hidup sendiri atau yang sudah tidak mendapat layanan memuaskan dari pasangan mereka.
Ramai yang tidak sedar akan fenomena gejolak nafsu wanita yang menghampiri menopause ini apabila peluang menjelma. Lihat saja video selengkoh makcik dengan pasangannya yang dicekup oleh suaminya sendiri dalam video ini. Terlalu banyak kes zina pasangan separuh umur begini yang telah tertangkap untuk kita ambil pelajarannya.
https://www.facebook.com/worldwideCCTV/videos/1495360947439703/
Kesimpulannya, banyak yang Allah suruh atau Allah larang dalam perhubungan suami isteri adalah untuk kebaikan diri dan keluarga kita sendiri. Perceraian terjadi apabila kita hanya melayan nafsu dan kehendak sendiri tanpa memperdulikan arahan Allah.
Surah Ash-Shura, Ayat 23
ذَٰلِكَ الَّذِي يُبَشِّرُ اللَّهُ عِبَادَهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ قُل لَّا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَىٰ وَمَن يَقْتَرِفْ حَسَنَةً نَّزِدْ لَهُ فِيهَا حُسْنًا إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ شَكُورٌ
Itulah yang Allah menggembirakan hambaNya yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh. Katakanlah: "Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan". Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.
Renungan petang,
WARGA PRIHATIN