MUFTI PERLIS TIDAK PUAS HATI DEBAT AGAMA TIDAK MENJADI REALITI

BLogTips
0

'Debat' Yang Tak Jadi

1. Saya sebenarnya telah beberapa kali menyertai diskusi panas. Ini termasuk 2 kali bersama Astora Jabat ketika usia masih awal 30an. Namun, apabila saya memegang jawatan Mufti Perlis saya cuba mengelakkan diskusi seperti itu. Rasa kurang sesuai. Walaupun saya tahu UZMZ itu sering mencabar saya berdebat, bahkan menyatakan akan datang ke Perlis untuk berdebat. Di zaman teknologi ini rakyat Malaysia bolehDEBAT menonton sendiri bahasa dan cara beliau.

2. Namun, pada 4hb yang lepas, apabila UZMZ membuat cabaran lagi untuk berdebat dengan saya pada bila-bila masa, di mana sahaja, siapa sahaja peserta dan apa sahaja formatnya, saya rasa beliau sudah terlalu melampau mencari perbalahan. Beliau juga menyuruh saya letak jawatan mufti jika tewas dengan beliau. Apatahlagi beliau menggunakan tiket KDN untuk melebel pihak itu dan ini sebagai pengganas. Kebetulan DS Shahidan bin Kassim mengatur satu diskusi antara saya dengan beliau, maka saya membuat keputusan untuk setuju. Tajuk juga dilihat sangat bertepatan iaitu EKSTRIMISM DI MALAYSIA: Satu Diskusi. Walaupun sepatutnya saya dalam hal seperti ini meminta perkenan pihak Istana Arau terlebih dahulu, namun saya berijtihad untuk terus setuju dan menunda semua program pada 10hb berkenaan.

3. Tiba-tiba UZMZ pula tidak bersetuju. Kononnya ada program dengan banduan pada tarikh berkenaan. Saya tertanya; beliau yang sebut dahulu 24 jam, sepatutnya tiada alasan. Tidak bolehkah minta pihak banduan jangan ke mana-mana selepas 10hb untuk program gantian. Saya tidak fikir banduan terlalu sibuk dengan banyak urusan dalam penjara tersebut. Saya hairan.

4. Sekarang banyak pula syarat-syarat baru termasuk persetujuan pihak berkuasa agama tempatan dan seumpamanya. Saya bertambah hairan.

5. DS Shahidan Kassim pula nampaknya memberikan tarikh alternatif yang baru untuk Zamihan pilih iaitu 11, 12, 13, 14, 15, 16 dan 17. Banyak pilihan nampaknya. Walaupun sebenarnya pada 13 dan 14 saya dititahkan mengiringi DYTM Raja Muda Perlis ke 2 buah universiti di Thailand. Pun begitu, memandangkan UZMZ sering menuduh pelbagai pihak dengan isu keganasan ini, maka ingin menyatakan saya BERSETUJU dengan salah satu tarikh berkenaan. Saya akan memohon keuzuran dari DYTM Raja Muda Perlis jika ditakdirkan UZMZ pilih 13 ataupun 14. Apa yang penting, hasrat yang sekian lama beliau canangkan itu, saya tunaikan in sha ALLAH.

6. Selepas tarikh 17hb berkenaan, jika beliau masih tidak mahu, saya anggap 'tutup kes'. Saya akan banyak ke luar negara selepas itu. Saya harap beliau berhentilah mencerca, memfitnah dan mengkafirkan sesama muslim seperti yang selalu kita saksikan dalam video-videonya. Jika beliau tidak mahu dialog, saya tidak memaksa. Beliau yang sebenarnya memulakan idea ini.

7. Marilah kita hidup secara harmoni walaupun kita berbeza. Agama tidak menyuruh kita seragam dalam semua perkara tapi menyuruh kita tahu menguruskan perbezaan. Tidak perlu maki hamun, tuduh yang bukan-bukan, ucap perkataan yang tidak wajar seperti memanggil MUFTI ANJING kerana perbezaan fekah. Amat tidak wajar, apatahlagi bagi seorang yang berpendidikan. Lebih dahsyat lagi sampai mengkafirkan sesama muslim seperti beliau katakan kepada Dato Dr Zahazan 'mu la kafir'. Wajarkah begitu? Adapun saya, saya menganggap UZMZ saudara seagama, sekali pun saya tidak bersetuju dengan akhlak, cara dan fahamannya.

8. Hakikatnya, rakyat sedang menghadapi banyak masalah kehidupan mutakhir ini. Para ilmuwan agama sepatutnya bersama rakyat memperjuangkan masalah mereka, bukan sibuk mengkafirkan dan menuduh sesama muslim yang tidak terbabit sebagai sesat dan pengganas. Akhirnya, kita melupakan masalah rakyat, keganasan ke atas umat Islam Palestin, Syria, Iraq dll. Ada agenda buruk di sebalik menuduh pihak itu dan ini pengganas tanpa bukti yang kukuh.

9. Rakyat Malaysia muslim dan bukan muslim mengetahui bahawa betapa banyak pandangan saya yang sederhana. Non-muslim juga sering merujuk kepada pandangan saya dalam memahami sifat Islam yang adil untuk semua. Sehingga UZMZ menuduh saya liberal. Tapi dalam masa yang sama ada ideologi terrorist. Saya tidak tahu siapakah yang pening.

10. Saya mencadangkan kepada rakyat Malaysia, umat Islam khususnya tontonlah rakaman-rakaman mereka yang dituduh oleh UZMZ juga kelompoknya, kemudian bandingkanlah dengan pihak menuduh. Lihatlah isi, bahasa, pendekatan dan sikap. Kemudian, nilailah sendiri dengan bijaksana. Mohonlah petunjuk daripada Allah dengan ikhlas dan bersungguh.. Semoga Allah membimbing kita semua.

hamba yang faqir kepada keampunan ALLAH,
mohd asri bin zainul abidin

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)