PAUS TERSESAT DI JOHOR MENGIKUT ARUS LAUT PASANG BESAR

BLogTips
0

PONTIAN: Penduduk sekitar Rambah dekat sini gempar dengan kehadiran seekor ikan paus yang kelihatan terdampar di tepi pantai Taman Rekreasi Pantai Rambah.

Kehadiran ikan paus sepanjang 40 kaki (kira-kira 20 meter) dan seberat tiga tan itu dikatakan berada di sekitar kawasan itu sejak awal pagi tadi dan telah menarik perhatian pengunjung yang membawa keluarga beriadah sempena cuti Tahun Baru Cina.

Komander Operasi dari Balai Bomba Pontian Baru Jumaat Sailan berkata pihaknya mendapat panggilan dari orang awam.

"Setibanya di lokasi, kami dapati ikan paus itu tidak dapat bergerak kerana tersangkut sebab air surut.

"Kemungkinan paus itu sesat mengikut arus air pasang," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di Taman Rekreasi Pantai Rambah.

Jumaat berkata dengan bantuan orang ramai dan anggotanya, ikan paus itu kemudiannya berjaya ditolak ke tengah dan ekornya diikat dengan bot nelayan bagi membantunya pulang di laut.

"Dengan bantuan orang awam, ikan paus itu berjaya ditarik bot pada kira-kira 3.30 petang," kata beliau.

Ini merupakan kali pertama kes paus terdampar dilaporkan di Pontian, katanya.
Walaupun ikan paus itu berjaya ditarik bot, penduduk sekitar kawasan itu berpusu-pusu datang bersama keluarga untuk menyaksikan sendiri mamalia itu.
Tags

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)