1. Sekiranya anda membeli rumah melalui agen, anda perlu melawat dahulu rumah tersebut dan pastikan ianya berkeadaan baik, tiada kebocoran dan kerosakan-kerosakan lain. Sekiranya ada kerosakan yang “major”, dapatkan pengesahan dari agen bahawa penjual akan memperbaiki kerosakan rumah tersebut sebelum penyerahan milikan kosong.
2. Setelah memeriksa rumah dan anda masih berminat dengan rumah tersebut, agen akan meminta anda untuk membayar 2% @ 3% deposit dari harga rumah sebagai “earnest deposit”/wang tanda jadi. Pada waktu ini, anda akan diminta untuk menandatangani satu dokumen yang dipanggil Surat Tawaran Membeli/”Letter of Offer To Purchase”. Antara terma surat ini adalah pembeli dan penjual perlu untuk memasuki perjanjian jual beli dalam masa 14 hari dari tarikh surat tawaran membeli tersebut ditandatangani, jika tidak wang “earnest deposit” anda akan dikira hangus.
3. Anda perlu bertegas dengan agen untuk memasukkan syarat bahawa wang “earnest deposit” anda perlu dikembalikan jika permohonan pinjaman perumahan anda tidak lulus. Pada peringkat ini, anda boleh menggunakan Surat Tawaran Membeli ini untuk memohon pinjaman bank. Pinjaman biasanya hanya akan dipohon setelah “earnest deposit” ini dibayar dan surat tawaran membeli ini ditandatangani oleh kedua-dua pihak. Namun ada sesetengah bank yang mungkin meminta anda untuk mengemukakan Surat Perjanjian Jual Beli yang telah ditandatangani untuk proses kelulusan pinjaman.
4. Setelah pinjaman anda diluluskan, anda perlu melantik peguam untuk menyediakan Perjanjian Jual Beli (S&P). Adalah diingatkan pelantikan peguam adalah hak mutlak anda. Anda bebas memilih peguam yang boleh dipercayai dan mempunyai rekod perkhidmatan yang memuaskan. Sila kemukakan kepada peguam tersebut dokumen yang berikut untuk penyediaan Perjanjian Jual Beli:-
- alamat hartanah yang ingin dibeli;
- harga jualan rumah;
- salinan geran rumah;
- salinan Perjanjian Jual Beli antara penjual/pemilik rumah dan pemaju/pemilik terdahulu.
5. Kebiasaannya, Peguam anda akan melakukan carian tanah di Pejabat Tanah atau mendapatkan pengesahan Pemaju bagi memastikan status “bersih” rumah yang dibeli. Peguam anda juga akan membuat anggaran kasar mengenai kos guaman yang terlibat. Kos guaman yang dikenakan oleh peguam mesti mengikut skala yang ditetapkan oleh Majlis Peguam.
6. Setelah S&P telah siap disediakan oleh peguam yang dilantik, penjual dan pembeli akan menandatangani S&P ini. Anda sebagai pembeli perlu membayar baki 7% sebagai baki Wang Deposit 10% kepada penjual. Baki 90% harga jualan rumah pula perlu dibayar dalam masa tiga (3) bulan dari tarikh S&P ATAU tarikh kebenaran Pihak Berkuasa Negeri diperolehi ATAU tarikh Surat Pengesahan/Kebenaran Pemaju diperolehi, bergantung kepada jenis rumah yang anda beli (termasuk proses pengeluaran pinjaman bank anda). Anda diberi tempoh lanjutan selama satu (1) bulan selepas tamat tempoh tiga bulan yang dinyatakan di atas untuk menyelesaikan keseluruhan harga jualan kepada penjual tertakluk kepada pembayaran faedah/denda lewat 8% ke atas baki harga jualan yang masih terakru.
7. Semua proses kerja S&P akan dilakukan oleh peguam namun anda dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangannya supaya keseluruhan harga jualan dapat dijelaskan kepada penjual dalam tempoh yang ditetapkan, jika tidak penjual berhak untuk menamatkan Perjanjian Jual Beli dan Wang Deposit 10% anda boleh dilupus dan dikira hangus. Pastikan tiada kelewatan dari peguam S&P/pinjaman, bank pembiaya atau anda sendiri yang boleh menjejaskan kelancaran S&P.
8. Setelah selesai kesemuanya, peguam akan menyerahkan baki harga jualan 90% kepada penjual dan dalam masa yang sama, penjual perlu menyerahkan kunci kepada peguam. Setelah itu, kunci pula akan diserahkan kepada pembeli. Sebelum proses ini disempurnakan, Peguam akan memastikan bahawa rumah yang dibeli ini tidak mempunyai tunggakan bil cukai pintu, cukai tanah, air, elektrik, IWK, penyelenggaraan dan sebagainya.
9. Anda dinasihatkan untuk memastikan bahawa nama anda tidak disenarai hitam di dalam CCRIS atau CITOS dan layak dari awal lagi untuk membuat pinjaman bank, jika anda memerlukan pinjaman rumah untuk membeli rumah. Anda perlu juga membuat bajet anggaran kos guaman (bagi S&P dan pinjaman bank), kos penilaian rumah (valuation) dan Wang Deposit rumah (kebiasaannya bank hanya memberi pinjaman 90% dari harga pasaran rumah). Pastikan harga rumah yang bakal dibeli berada di dalam lingkungan harga pasaran semasa.
10. Anda juga boleh membuat pertanyaan awal dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pengeluaran simpanan anda bagi membayar kos guaman. Pengeluaran hanya boleh dibuat dari akaun ke-2 KWSP dan hanya nama yang dinyatakan di dalam S&P sebagai pembeli boleh mengeluarkan simpanannya.