EGONYA KITA DENGAN ANAK!
Sebelum kita keluar ke pejabat kita membebel pada anak kerana lambat bersiap. Sampai di sekolah anak maklumkan ada surat yang dia lupa berikan semalam. Lagi sekali anak dileteri.
Anak salam dan masuk ke kelas dengan keadaan emosi yang terguris. Dah dua kali kena marah. Kalau tak bagitahu pasal surat tu pun takpe fikirnya. Buat kena marah je.
Seharian dia di sekolah bersama kawan-kawan dan guru. Bila habis sekolah, dia tinggal di taska atau rumah pengasuh. Sementara menunggu ibu dan ayah balik..
Bila matahari semakin hilang cahayanya, baru ibu dan ayah datang jemput.
Dah 8/9 jam tak jumpa ibu ayahnya. Banyak yang dia nak kongsikan. Waktu ibu dan ayahnya sedang bercakap, waktu itu juga mereka excited nak cerita dan bertanya itu dan ini. Nak bagitahu cikgu puji dia pandai, nak bagitahu kawan puji kotak pensil yang ibu baru belikan
Tapi mereka dimarahi kerana dikatakan menyibuk waktu orang tua nak bercakap. Mereka menunduk dan masuk ke bilik. Bergurau pulak dengan adik-adik. Kecoh bunyinya. Tetiba wajah si ayah tersembul di muka pintu. Kena marah lagi sebab bising waktu ayah nak tengok berita. Ayah suruh baca buku.
Tengah-tengah belek buku, teringat lukisan cantik tadi. Berlari nak tunjuk kat ibu didapur. Tetiba terlanggar pulak bucu meja. Jatuh dan pecah berderai gelas atas meja. Sekali lagi anak ini dimarahi dan dileteri.
Dan anak ini akhirnya tidur dalam keadaan dia tertanya-tanya adakah ibu dan ayahnya menyayanginya atau tidak. Tiap hari, pasti ada saja salah dan silap mereka. Pasti ada yang tidak kena.
Itu senario yang selalu kita hadapi. Sungguh tinggi ego kita.
Sungguh kita sangat mementingkan diri.
Anak ini belum matang. Belum tahu berfikir seperti orang dewasa. Bila ibu dan ayah pulang mereka benar-benar ingin merasai kehadiran kita. Ingin dipeluk dan berkongsi cerita. Tapi apa yang mereka dapat???
Bila mereka besar dan lebih selesa berkongsi cerita dengan teman-teman, jangan kita persoalkan kenapa. Kerana waktu mereka ingin benar-benar berkongsi dengan kita, kita menafikan hak mereka.
Keegoan itu langsung tak menjadikan kita ibu bapa yang hebat.
Emosi dan amarah hanya mengundang salah tafsir si anak
Jika kita berasa penat dengan urusan kerja seharian, bagaimana pula dengan anak-anak? Jam 7.30 dah terpacak di sekolah. Pagi sekolah agama dan petangnya pula sekolah kebangsaan. Tidak penatkah mereka?
Kita keluar bekerja tanpa membawa beban berkilo. Tapi mereka bagaimana? Berat beg sekolah saja sudah 5 kg.
Ingatlah, anak itu satu anugerah. Bukan tempat melempias lelah.