01 Jun, 2017

Solat 5 Waktu Di Ciplak Dari Ibadat Majusi Penyembah Api??

Solat 5 Waktu Ciplak Dari Ibadat Majusi?

Saya mendapat komen dari seorang wanita yang mengatakan ibadat solat lima waktu sehari yang dilakukan oleh umat Islam adalah amalan dari ibadat agama Zoroaster atau Majusi. Dia mengatakan:


“Kalau nak tahu, sebenarnya solat 5 waktu adalah bukan dari hadis tapi dari ugama Zoroastria. Iaitu ugama Persia. Ugama kelahiran Bukhari, Muslim Termidzi”


Perlu diteliti pemilihan katanya adalah dia tidak mendakwa Nabi menciplak amalan ini dari agama Zoroaster seperti dakwaan Tom Holland dalam bukunya The Shadow of The Sword yang mengatakan ibadat solat diciplak dari Zoroaster.

Akan tetapi wanita ini mengatakan amalan ini ia bukan dari Hadis. Setelah itu, dia mengatakan amalan solat lima waktu ini berasal daripada agama Zoroaster iaitu agama dari Parsi dan di situ tempat lahirnya ulama hadis seperti Imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi.

1) Dia tidak mengatakan secara terang bahawa nabi Muhammad menciplak amalan solat lima waktu ini dari Zoroaster.
2) Dia berfahaman bahawa solat pada zaman nabi dan sahabat bukan lima waktu seperti Sunni lakukan.
3) Di sini juga terdapat rona-rona yang bermaksud amalan solat lima waktu pada asalnya tidak ada pada zaman nabi tetapi digubah oleh ahli Hadis dari Parsi dengan mengaitkan nama imam Bukhari Muslim dan Tirmizi.

Pertama, Imam Muslim, Bukhari dan Tirmizi tidak ada kaitan dengan agama Majusi. Kedua pada zaman ahli hadis ini agama Majusi sudah merosot setelah Parsi ditawan oleh Umar al Khattab. Ketiga, hujah ini banyak dimainkan oleh golongan sesat yang fokus dalam Internat dikenali sebagai Islamic House of Israel. Malah hujah sedemikian juga digunakan oleh golongan Syiah.

Jika masuk ke dalam perbincangan antara solat lima waktu atau jama' seperti amalan Syiah biasanya akan menemui hujah sedemikian. Apabila mereka membahas tentang pemisahan solat lima waktu di dalam Sunni, mereka akan mengatakan nabi tidak pernah mengamalkan solat lima waktu kerana hal itu direka oleh ulama hadis setelah nabi Muhammad SAW wafat.

Mereka mengatakan pada zaman nabi, nabi hanya solat tiga waktu sahaja dan perkara itulah mereka amalkan iaitu dengan menjamakkan solat sehingga menjadi tiga waktu. Manakala golongan Islamic House of Israel pula mereka sememangnya solat tiga waktu sahaja. Mereka membawa hujah amalan solat lima waktu itu adalah amalan Majusi yang mana agama Majusi mereka solat lima waktu dalam sehari. Dan amalan itu ditambah oleh ulama Hadis Sunni.

Tidak Ada Dalilkah?

Mengenai pensyariatan solat lima waktu ini terdapat banyak hadis dan juga disebut di dalam al Quran. Di dalam hadis nabi menyebut:

أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهَرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ ، يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسًا ، مَا تَقُولُ ذَلِكَ يُبْقِى مِنْ دَرَنِهِ » . قَالُوا لاَ يُبْقِى مِنْ دَرَنِهِ شَيْئًا . قَالَ « فَذَلِكَ مِثْلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ ، يَمْحُو اللَّهُ بِهَا الْخَطَايَا »

“ Tahukah kalian, seandainya ada sebuah sungai di dekat pintu salah seorang di antara kalian, lalu ia mandi dari air sungai itu setiap hari lima kali, apakah akan tersisa kotorannya walau sedikit?” Para sahabat menjawab, “Tidak akan tersisa sedikit pun kotorannya.” Beliau berkata, “Maka begitulah perumpamaan shalat lima waktu, dengannya Allah menghapuskan dosa.” (HR. Bukhari no. 528 dan Muslim no. 667)

Dan terdapat banyak lagi hadis yang menyebut solat lima waktu “الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ “ seperti dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh imam Muslim no. 233, no 668 dan Hadis riwayat Ahmad 2: 169. Nabi secara jelas menyebut terdapatnya solat lima waktu. Manakala di dalam al Quran pula Allah menyebut yang bermaksud:

“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya”. ( al-Nisa’ 4 : 103 )

"Dan dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu) pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada ketika yang berhampiran dengannya dari waktu malam, sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan yang buruk, itulah peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat". ( Hud 11 : 114 )

"Dirikanlah solat ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam dan (dirikanlah) solat subuh sesungguhnya solat subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya)". ( Al-Isra’ 17 : 78 )

"Oleh itu bersabarlah engkau (Wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya dan beribadat sesaat dari waktu malam dan pada sebelah siang supaya redha (dengan mendapat sebaik-baik balasan)". ( Taha 20 : 130 )

Berdasarkan kepada ayat al Quran ini, Allah mengatakan solat itu ditetapkan di atas waktu-waktunya. Dan Allah juga telah menyatakan di dalam ayat di atas ini bahawa pada dua waktu siang, dan berhampiran dengan malam, di waktu gelap malam dan waktu subuh.
Malah di dalam sebuah hadis shahih nabi secara spesifikkan waktu-waktu solat ini:

Daripada Abdullah Ibni Amru bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Waktu Zohor bermula apabila gelincir matahari sehingga panjang bayang sesuatu objek sama panjang dengan objek tersebut. Waktu Asar bermula apabila panjang bayang sesuatu objek, sama panjang dengan objek, pula sekiranya matahari belum kekuningan. Waktu Maghrib bermula apabila matahari kekuningan dan berakhir apabila hilangnya cahaya mega merah (Syafak Ahmar). Dan waktu Isyak bermula apabila hilang syafak ahmar sehingga tiga perempat malam. Waktu Subuh bermula dari terbitnya fajar dan berakhir apabila terbit matahari. Apabila telah terbit matahari maka dilarang mendirikan solat. Bahawa terbitnya di antara dua tanduk syaitan". (Diriwayatkan oleh Muslim no 612)

Malah terdapat banyak lagi hadis-hadis mengenainya. Saya tidak mahu panjangkan perbincangan dari sudut pendalilan ini kerana ia terlalu banyak dan saya rasa cukup sekadar ini kerana saya ingin fokuskan perbincangan yang dikaitkan dengan ibadat agama Zoroaster.

Nabi Muhammad Meniru Zarathustra?

Melihat dakwaan wanita ini dengan mengatakan “ia bukan dari Hadis (dari nabi) tetapi dari agama Zoroaster” maka dakwaan ini sudah tertolak dengan pendalilan yang telah disenaraikan sebelum ini bahawa sememangnya ia terdapat di dalam al Quran dan Hadis.

Untuk sekadar perbincangan maka kita raikan dan andai ada dakwaan yang mengatakan nabi Muhammad menciplak amalan ini dari agama Zoroaster seperti dakwaan Tom Holland dalam bukunya The Shadow of The Sword.

Di dalam agama Zoroaster sememangnya mereka memiliki ibadat sembahyang sebanyak lima kali sehari. Di dalam kitab suci mereka, Zend Avesta, buku Khorda Avesta, bahagian Gah menyatakan terdapat lima waktu mereka bersembahyang iaitu Havan, Rapithvan, Uziren, Aevishuthrem, dan Ushen.

1) Waktu Havan dari matahari terbit sehingga tengah hari (Khorda Avesta, Gah Havan: 1-10)
2) Waktu Rapithvan tengah hari sehingga suku petang sekitar 3 PM (Khorda Avesta, Gah Rapithvan :1-12)
3) Waktu Uziren dari suku petang 3.30 sehingga terbenam matahari (Khorda Avesta, Gah Uziren: 1-11)
4) Waktu Aevishuthrem dari terbenam matahari sehingga tengah malam. (Khorda Avesta, Gah Aevishuthrem: 1-13)
5) Waktu Ushen dari tengah malam sehingga sebelum matahari terbit. (Khorda Avesta, Gah Ushen: 1-10 )

Oleh kerana perbahasannya menyebut soal waktu maka kita akan membincangkan soal waktu. Mungkin sahaja si wanita ini sudah mengetahui atau tidak yang sememangnya cara Zoroastrian bersembahyang sepenuhnya berbeza dengan muslim solat. Oleh itu kita tidak membincangkan soal ‘ciplak’ tatacara sembahyang.

Pertama, sekira dikatakan amalan solat lima waktu di dalam Islam tidak dibuat oleh nabi Muhammad SAW dan ia direka oleh ulama Hadis seperti dakwaan Islamic House of Israel dan golongan Syiah, maka sila datangkan perbincangan dari sudut hadis supaya ia dapat dibahaskan. Bukan sekadar membuat hipotesis semberono.

Kedua, sekiranya amalan solat yang dianjurkan Islam hampir sama dengan waktu cara Zoroaster bersembahyang, apa masalahnya? Islam berpandukan dalil dan hujah. Umat Islam solat lima waktu berdasarkan suruhan Allah dan rasul.

Dan sekiranya hal itu juga dilakukan oleh Zarathustra maka ia bukan menjadi isu malah boleh menguatkan lagi hujah ilmuan yang mengatakan kemungkinan besar Zarathustra yang dikatakan pengasas Zoroaster itu adalah seorang rasul yang membawa syariat Islam sebelum nabi Muhammad yang tidak diceritakan oleh al Quran, firman yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya telah Kami utus beberapa orang rasul sebelum kamu, di antara mereka ada yang Kami ceritakan kepadamu dan di antara mereka ada (pula) yang tidak Kami ceritakan kepadamu.” (Al-Mu’min: 78).

Terdapat ulama seperti Ibnu Hazm di dalam kitab al Fasl fi al-Milal wa-al-Ahwa' wa-al-Nihal mengatakan kemungkinan besar Zarathustra itu adalah seorang rasul yang tidak diceritakan dalam al Quran. Malah Ibn Hazm juga mengatakan Majusi (Zoroastrian) adalah ahli kitab seperti Kristian dan Yahudi. Ini kerana Zarathustra juga membawa aqidah tauhid. Sila baca artikel di sini untuk mengetahui sejarah agama yang dibawa beliau dirosakkan: http://bit.ly/2rTn75s

Malah terdapat ramalan kehadiran nabi Muhammad yang disebut oleh beliau di dalam kitab suci Zoroaster.

Ketiga, bagi golongan mengatakan Islam ini adalah agama ciplak dari agama lain, sila teliti terlebih dahulu ‘world view’ aqidah Islam. Islam bukan sebuah agama baru yang diasaskan oleh nabi Muhammad SAW dan perkara inilah yang sering disalahfahami. Islam adalah agama yang diturunkan dari zaman berzaman oleh Allah kepada rasul-rasulnya.

Malah sekiranya terdapat persamaan dari sudut aqidah, hukum hakam dan muamalat hal itu bukanlah suatu masalah kerana terdapat beberapa persamaan di antara syariat Islam umat terdahulu dengan syariat Islam pada zaman Nabi Muhammad SAW. Saya membahas perkara ini secara khusus di dalam buku Menilai Persamaan al Quran Hadis & Bible Mengenai Kehidupan Manusia yang mana terdapat banyak persamaan seperti tauhid, nabi sujud, larangan minum arak, larangan makan babi dan lain-lain.

Manakala dari sudut sejarah dan kronologi membuktikan Islam adalah agama tertua saya bahaskan di dalam buku Yahudi Kristian Hindu dan Buddha Berasal Daripada Islam? dan di dalam halaman 248-295 saya membincang khusus tentang agama Zoroaster.

Keempat, Isunya adalah jahil tetapi banyak bercakap. Apabila mengatakan Islam tidak menetapkan solat lima waktu hal ini jelas menolak teks ayat al Quran dan Hadis yang jelas menyebut tentang solat dan waktu-waktunya. Kedua dikatakan pula solat lima waktu berasal dari Zoroaster dan ini adalah sikap ‘cherry picking’ dan berfalasi di dalam mengemukakan dakwaan.

Seperti golongan barat yang lain gemar mendakwa amalan agama Kristian berasal dari Zoroaster kerana berdasarkan peristiwa pembebasan Yahudi di Babilon, orang Yahudi sebelum itu tidak ada konsep membina rumah ibadat tetapi datangnya Cyrus The Great yang merupakan seorang Zoroastrian menyuruh membina rumah Tuhan (Ezra 6: 3-5). Lalu mereka mendakwa amalan membina rumah ibadat adalah ciplak dari amalan Zoroaster. Sedangkan di dalam konteks ayat ini adalah membina rumah Tuhan seperti Haikal Sulaiman yang dibina sebelum itu.

Tuduhan yang sama juga digunakan ke atas Islam kononya Islam menciplak ajaran Zoroaster, Yahudi, Kristian, dan Manichaeisme. Hakikatnya dakwaan ini tidak berasas sama sekali. Sekiranya mahu perdebatkan isu ini kita ke pentas yang lain dan saya akan menjawab satu persatu.

Kesimpulan

Islam berdiri di atas nas dan dalil. Ia bukan agama hipotesis. Muslim itu sifatnya tunduk kepada segala suruhan Allah dan rasulnya berdasarkan dalil dan nas itu.

Jika ditakdir selain Zoroaster terdapat 20 agama Kuno lain yang turut memiliki solat lima waktu seperti umat Islam, maka ia tetap tidak menjadi masalah. Ini kerana muslim berpegang kepada teksnya dan Islam bukanlah agama sinkretisme.

Wallahua’alam

Copy Paste
MRM R &D TEAM